DEFINASI
LAGU SEKSIS
Kemungkinan besar, ramai yang telah mendengar lagu terbaru
Anita Sarawak yang berjudul ‘Seksis’ dimainkan
di corong-corong radio tempatan. Alhamdulillah, sebuah lagi
lagu ciptaan saya berjaya menarik perhatian pendengar semua.
Mudah-mudahan, lagu yang disampaikan bukan sekadar hiburan
semata-mata, malah ia dapat membuka minda pendengar untuk
mendalami isu-isu yang belum dikupas sebelum ini.
Sayangnya, ada segelintir daripada masyarakat kita yang tidak
jelas akan maksud sebenar lagu ini, hingga mengklasifikasikan
nukilan saya sebagai ‘bahasa pasar’. Biarlah saya jelaskan
secara mendalam maksud di sebalik lirik lagu ini, agar dapat
memperkembangkan lagi minda kita semua.
1-Maksud
‘Seksis’
Perkataan ini diambil dari kata dasarnya iaitu
‘Seks’.
Cadangan untuk menggunakan istilah ‘Seksisme’ telah saya pertimbangkan
sebelum lirik lagu tersebut disiapkan, namun saya ketepikan
kerana ‘Seksisme’
merujuk kepada ‘fahaman’, atau ‘ideologi’ sesuatu topik. Dalam
konteks ini, kata dasar ‘Seks’ merujuk kepada jantina, maka ‘Seksisme’ membawa erti
‘fahaman prejudis terhadap jantina yang berlawan’. Sila rujuk
petikan dari Kamus Dewan edisi ketiga untuk erti ‘Seksisme’;
Seksisme - sikap diskriminasi yg berdasarkan jantina, terutamanya
sikap memandang rendah terhadap kaum wanita (oleh
kaum lelaki)
perhatikan... ‘sikap’, dan bukannya
‘orang’
Ingin saya ketengahkan beberapa contoh kata dasar, dan kata
tambahan yang dipetik dari kamus untuk kita pertimbangkan
seperti berikut:
Ekstrem – Terlampau
Ekstremisme –
Fahaman terlampau
Ekstremis – Orang yang mempraktikkan
fahaman terlampau
Idea – Pemikiran / ilham
Idealisme – Fahaman tentang idea
tersebut
Idealis – Orang yang mempraktikkan
idea tersebut
Nasional – Kebangsaan
Nasiolisme – Fahaman tentang semangat
kebangsaan
Nasionalis – Orang yang mempraktikkan
semangat kebangsaan
Kesemua perkataan di atas sememangnya telah diadaptasi dari
Bahasa Inggeris yang mempunyai tambahan ‘ism’ dan ‘ist’
untuk menjelaskan penglibatan manusia di dalam sesuatu bidang.
Malah perkataan ‘artis’
dan ‘dramatis’
yang sering digunakan dalam industri hiburan merujuk kepada
insan yang melibatkan diri di dalam kegiatan seni.
Jika dirujuk kembali kepada lirik lagu ‘Seksis’,
topik yang saya ingin ketengahkan ialah layanan ‘subjek’, iaitu kaum lelaki,
‘orang’ yang mempraktikkan fahaman ‘Seksisme’. Maka perkataan yang paling
hampir untuk menjelaskan golongan ini ialah ‘Seksis’. Malah di dunia
barat, sifat ‘sexist’ (ejaan sebenar Bahasa Inggeris) dan prejudis sesuatu
jantina agak ketara, hinggakan terhasilnya definasi tersebut.
Walaupun tiada perkataan khusus untuk ‘Seksis’ di dalam kamus
dewan, ini tidak bererti tema itu tidak wujud di dalam bahasa,
oleh kerana kebanyakan perkataan kamus lebih menjelaskan kata akar , atau kata umum sesuatu definasi. Mungkin tak tersenarainya
seluruh kata imbuhan
dan sebagainya di dalam kamus, sedangkan terlalu banyak kata
perumpamaan, peribahasa dan kata simbolik di dalam Bahasa
Melayu. Sebagai contoh, ‘panjang
tangan’ di dalam kamus akan membawa erti ‘long hands’,
sedangkan bahasa kiasan yang kita fahami membawa erti ‘sifat
mencuri’. Begitu juga dengan maksud ‘mulut
murai’ dan sebagainya.
Jika dirujuk kepada ‘panduan penggunaan Kamus
Dewan Edisi Ketiga’ (bahagian pendahuluan), akan termaktub
penjelesan struktur kata untuk ‘Etimologi’ yang secara
terang menjelaskan kamus hanyalah panduan untuk kata dasar.
"Etimologi
- Keterangan etimologi tidak diberikan selengkapnya
tetapi hanya sekadar untuk menyatakan bahasa sumber sesuatu
perkataan yang sudah meresap ke dalam perbendaharaan bahasa
Melayu tetapi masih terasa sifat-sifat keasingannya tanpa
memperhitungkan taraf atau peringkat kemeresapan perkataan
yang berkaitan di kalangan pengguna bahasa. Maklumat yang
terbatas ini diharap dapat menjadi titk permulaan pengkajian
dsb tentang kata-kata pinjaman."
Namun jika masih dipersoalkan, sila lihat petikan di bawah
untuk pengertian ‘Sexist’ di dalam kamus Melayu Oxford edisi ketiga, yang jelas
mempunyai pengertian yang saya maksudkan.
Sexist - (orang) yang mengutamakan
orang yang sama jantina dengannya; percaya kepada kebolehan
mengikut jantina; seksis –n. orang yang mengutamakan
orang yang sama seks dengannya. Sexism n. seksisme.
perhatikan ‘orang’, bukannya ‘sikap’.
Saya pasti, dengan rujukan yang sesuai, sesiapun dapat memahami
penggunaan ‘seksis’, iaitu orang
yang mempraktikkan fahaman ‘seksisme’.
Begitu juga dengan fahaman ‘komunisme’, mereka digelar ‘komunis’,
‘sosialisme’ digelar ‘sosialis’, dan sebagainya.
2-
Penggunaan ‘Aci’ di dalam lirik lagu
Sila lihat petikan untuk definasi ‘aci’ di dalam kamus dewan.
Dengan jelas bahawa maksud utama ‘aci’ ialah ‘sah’ atau ‘diterima’ di
dalam sesuatu pertandingan. Melalui lirik saya, perkataan
‘mana aci?’ membawa maksud
‘mana sah/diterima?’. Dengan jelas sekali, ‘aci’ bukannya bahasa pasar
seperti yang dipertikaikan.
Aci
I - diterima, jadi, sah, (dlm permainan,
pertaruhan, dll); tidak aci, tidak sah.
3- Susunan kata yang seakan bunyinya
Walaupun perkara ini agak subjektif bergantung kepada tafsiran
individu, sila rujuk contoh ayat di bawah untuk memahami maksud
saya:
…buku berwarna biru itu baru dipasarkan pada hari Rabu yang
lalu…
…she sells sea shells on the sea shore….
Jelas ayat-ayat tersebut mempunyai bunyi yang
agak menyerupai satu sama lain (rhyme), namun tidak terdapat
sebarang kesalahan dalam susunan tatabahasanya. Oleh itu,
penggunaan “…selagi persis, tak terkikis seksis…” tepat
merujuk kepada pengertian yang ingin saya maksudkan. Adalah
tidak adil untuk cara penyampaian penyanyi dan citarasa penerbit
dipertikaikan, andainya isu lirik yang ingin dikupas.
4-
Penggunaan ayat kiasan ‘meniang’
tiang 4. ki orang atau sesuatu yg menjadi unsur atau sumber kekuatan
(kesempurnaan dll) sesuatu.
Petikan di atas merujuk kepada maksud ‘tiang’ di dalam kamus,
dan kita tumpukan kepada definasi tiang yang keempat . Jelas
sekali maksud ‘tiang’
boleh digunakan sebagai kata laku manusia, dan bukan objek
‘tiang’ iaitu ‘post’. Saya ketengahkan juga objek-objek yang
boleh digunakan sebagai kata laku di dalam kehidupan seharian:
Layar – …kapal
itu berlayar melalui
Selat Melaka
Paku –
…dia terpaku apabila
mendengar berita itu
Pateri – …terpaterinya perjanjian di antara mereka
Fail –
…kes itu telah difailkan
di mahkamah
Walaupun mempunyai perkataan-perkataan yang lebih jelas di
dalam definasi sesuatu ekspresi, adalah penting bagi seseorang
insan seni untuk menggunakan bahasa kiasan, dengan tujuan
melambangkan perasaan yang berbau puitis. Sebagai contoh:
…engkau laksana bulan…
…akan ku pintal buih-buih…
…petik bintang di langit…
Secara logiknya, tidak mungkin penulis-penulis tersebut mempunyai
maksud untuk rujukan kamus, kerana agak mustahil untuk ditafsirkan
definasi ekspresi tersebut secara ‘literally’.
Perkataan ‘meniang’, kata laku dari ‘tiang’
erti (ke 4), yang digunakan hanyalah sekadar bahasa
kiasan untuk menjelaskan kaum wanita yang secara bersendirian
memelihara rumahtangga. Beberapa calon perkataan seperti ‘memelihara’,
menjaga’, ‘membina’ dan sebagainya, mungkin boleh digunakan,
tetapi tiada satu perkataan pun yang dapat menjelaskan ‘usaha individu’ dalam sesuatu gerak laku. ‘Tiang rumahtangga’ cukup
dalam dan kuat maksudnya untuk menjelaskan usaha gigih kaum
wanita yang tidak mungkin menerima banyak bantuan dari sesetengah
suami.
Saya menjamin bahawa setiap hasil seni saya diilhamkan secara
mendalam dan penuh dengan ketelitian. Malah, tidak segan untuk
saya berbangga bahawa pengetahuan saya dalam sudut bahasa
Melayu dan Inggeris agak luas dan mendalam, dan tidak adil
mereka yang berfikiran cetek mempertikaikan pengetahuan bahasa
saya tanpa mempunyai bahan rujukan yang sesuai. Agak keterlaluan
untuk mencadangkan pakar bahasa menyemak karya seni saya,
andainya terlalu kritikal tanpa menghiraukan sudut ‘creative writing’. Bagi saya, biarlah
pendengar dan peminat sendiri menentukan apa yang bagus dan
apa yang tidak.
Sekurang-kurangnya, lagu ‘Seksis’ telah membuka
minda orang kita akan fenomena prejudis terhadap sesuatu kaum,
walaupun masih ramai yang tidak langsung mengenal erti ‘Seksis’,
‘Seksisme’, dan malah ‘Seks’.
Maka dengan penjelasan ini, tidak perlulah mereka yang kurang
arif tentang bahasa mempertikaikan struktur kata lagu ‘Seksis’,
hingga menuduh saya mencipta bahasa yang tersendiri. Dengan
jelas sekali, ‘kesilapan’ yang berlaku ialah ‘kesilapan’ di dalam pemikiran penulis
tersebut.
Sekian, Wasssalam.
EDRY
ABDUL HALIM A.M.N.
Penulis
lagu Seksis
Copyright © 2003 KRU Music Group. All rights
reserved.
Designed By Horizon Networks
|